Search

Lelaki cedera dilibas dengan parang kerana masalah peribadi

January 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki cedera di lengan kiri akibat dilibas dengan parang oleh rakannya kerana masalah peribadi dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan pekerja ladang di Merotai Besar, di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 30-an dikatakan sedang berbincang dengan suspek akibat isu peribadi yang berlarutan sebelum bertukar kecoh sehingga suspek bertindak agresif.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam keadaan marah, suspek mengambil sebilah parang dari rumah dan melibas ke arah mangsa.

“Akibat daripada kesan itu, mangsa cedera pada bahagian lengan kiri. Bertindak atas maklumat polis berjaya menahan suspek di lokasi berhampiran kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

“Sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian ity juga turut dirampas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya.

“Semakan rekod lampau mendapati, suspek warga tempatan berusia 47 tahun memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan melulu yang boleh mengancam keselamatan orang lain,” katanya. – Info X