TAWAU: Seorang pemandu teksi, di sini, bertindak membiarkan kedua-dua pintu belakang keretanya terbuka ketika berjalan kerana memuatkan televisyen bersaiz besar.
Aksi berbahaya teksi yang dikenal pasti berlaku di Tawau itu tular di media sosial sejak semalam hingga menimbulkan pelbagai komen warganet.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.
Katanya, berdasarkan video tular itu, polis segera melancarkan usaha dan telah mengesan pemilik teksi terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun, berasal dari daerah ini melalui semakan sistem Mobile Card Acceptance Davice (MCAD) jam 10.20 pagi tadi.
“Hasil siasatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, mendapati kenderaan itu terbuka kedua-dua belah pintu penumpang bahagian belakang adalah disebabkan oleh tindakan pemilik yang membawa muatan sebuah televisyen yang disimpan di bahagian penumpang belakang.
“Saiz televisyen yang besar sehingga pintu belakang kenderaan berkenaan tidak dapat ditutup rapat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan itu katanya, polis mengeluarkan notis saman di bawah Rule 18 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (membawa barangan di atas kenderaan dengan membahayakan kenderaan lain atau orang lain terhadap pemilik kenderaan.
“Pemandu kenderaan itu turut menjalankan ujian saringan dadah (SD2) dan ujian air kencing ke atas pemilik kenderaan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin berkata kejadian seumpama ini bukan sahaja mengundang bahaya kepada penumpang, tetapi juga boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, orang ramai diingatkan supaya lebih bertanggungjawab semasa menggunakan media sosial dan mereka digalakan melaporkan sebarang kejadian berbahaya terus kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil. – Info X