Search

Lelaki cedera, motosikal terbabas sebelum terbakar

December 6, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangi terbabas sebelum terbakar di Taman Fajar, Batu 7, di sini, tengah malam tadi.

Mangsa berusia lingkungan 20-an, diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.47 tengah malam.

“Setiba di lokasi, sebuah motosikal terbabas di bahu jalan dan terbakar sepenuhnya.

“Penunggang yang cedera diberi rawatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke HDOK menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan media.

Motosikal ditunggang mangsa musnah terbakar. – Foto/Bomba

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air dari jentera.

“Operasi terkawal pada jam 1.02 pagi dan selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan dua minit kemudian,” katanya. – Info X