TUARAN: Lelaki yang ditahan polis dalam kejadian di kawasan Plaza CKS, di sini, petang tadi disahkan sebagai suspek dikehendaki berhubung beberapa kes jenayah.
Suspek diberkas kira-kira jam 3 petang selepas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mengesan kenderaan dinaikinya.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, pasukan serbuan kemudian menghampiri kenderaan itu dan mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk pemandu.
“Polis memperkenalkan diri sebagai pegawai PDRM sambil menunjukkan kad kuasa kepada suspek sebelum cuba melakukan tangkapan.
“Bagaimanapun, situasi bertukar tegang apabila suspek bertindak nekad mengundurkan kenderaan dengan laju dan melanggar kereta pasukan polis berulang kali untuk cuba melarikan diri.
“Pasukan serbuan kemudian terpaksa memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan sebelum berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurutnya, polis menggunakan kekerasan minima untuk menahan suspek tanpa melepaskan sebarang tembakan.
Noraidin berkata, tiada sebarang tembakan dilepaskan sepanjang proses menangkap suspek.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi hotline polis di talian 088-794313 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan lelaki berkenaan ditahan selepas berlaku situasi tegang dengan polis.
Suspek yang disyaki terbabit dalam kes mencuri kabel itu sempat dirakam orang awam sebelum video berkenaan tersebar luas di media sosial. – Info X