LAHAD DATU: Seorang lelaki dikehendaki polis ditahan untuk siasatan berkaitan kes penyamaran sebagai pegawai polis trafik, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Katanya, suspek dilaporkan mengaku sebagai pegawai polis trafik bagi menyelesaikan kes kemalangan melibatkan tiga kereta yang berlaku di Jalan Ladang Giram Kunak, 3 Februari lalu.
“Suspek menawarkan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes kemalangan berkenaan dan meminta wang pampasan daripada mangsa untuk kos pembaikan.
“Bagaimanapun, mangsa yang menyedari suspek bukan seorang pegawai polis dan mengesyaki telah ditipu terus membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek disenaraihitamkan dan memiliki dua rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.
“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat, hari ini, untuk membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X