KOTA KINABALU: Sabah kekal sebagai penyumbang terbesar pengeluaran koko dengan menyumbang 60 peratus daripada hasil koko negara ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pada tahun lalu saja produk koko dari negara ini merekodkan peningkatan permintaan antarabangsa dengan nilai eksport mencecah RM15.06 bilion.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan tiga kali ganda berbanding nilai eksport koko yang direkodkan pada 2023.
“Kita bangga Sabah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini dengan menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.
“Saya juga gembira kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Koko sempena Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2025 (MICF 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.

Ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Sejajar potensi besar industri koko dan permintaan yang tinggi, petani di Sabah disaran menceburi penanamannya bagi meningkatkan lagi pengeluaran komoditi itu.
Hajiji berkata, beliau ingin melihat lebih ramai petani menceburi penanaman koko dan memperluaskan 3,000 hektar tanah yang sudah diusahakan dengan komoditi itu di Sabah, ketika ini.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan MICF adalah acara penting bagi Sabah dan mencerminkan peranan besar negeri ini dalam industri koko Malaysia.
Beliau turut memuji Lembaga Koko Malaysia (LKM) atas usaha menggerakkan kejayaan industri koko di Sabah.
Ketua Menteri juga berharap MICF akan membawa manfaat yang berkekalan dari perkongsian dan pelaburan baharu kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah, bukan saja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, malah sebagai destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan pengeluar koko, usahawan dan PKS tempatan, institusi akademik dan kepada penaja serta rakan kongsi dari Malaysia mahupun luar negara, yang menjayakan MICF 2025 ini,” katanya. – Info X