SIPITANG: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke rumah sejak keluar mencari ikan di Sungai Takula Besar, Kampung Takula, Jalan Skim Sindumin, di sini.
Mangsa dikenali sebagai Andrew Udan, 52, dilaporkan keluar dari rumah pada jam 2 petang, 3 Julai lalu bersama seorang rakannya untuk mencari ikan sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa dia akan pulang pada 5 Julai.
Bagaimanapun, mangsa tidak pulang seperti dijanjikan, menyebabkan anaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang pada jam 8.26 malam, 8 Julai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Desmond AK Micky @ Dominic, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Sipitang berhubung kejadian itu pada jam 9.06 pagi tadi.

“Sepasukan lima anggota bersama sebuah kenderaan utiliti dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.29 pagi.
“Pasukan operasi kemudian mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Sungai Takula Besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata, operasi berdepan cabaran apabila kawasan pencarian tidak mempunyai liputan rangkaian Government Integrated Radio Network (GIRN) selain mengalami masalah talian komunikasi.
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih diteruskan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X