KOTA KINABALU: Polis menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah Penampang, semalam.
Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, tiga lelaki termasuk seorang warga asing diberkas bersama rampasan dadah dianggarkan seberat 168.39 gram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan.
Katanya, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan 83.83 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 1.42 gram ketamin.
“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan risikan lanjut sebelum menyerbu sebuah kondominium di daerah Penampang pada jam 3.40 petang.
“Dalam serbuan kedua, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemui 81.39 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 1.75 gram ketamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, keseluruhan rampasan membabitkan 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin.
Beliau berkata, polis turut menyita beberapa kenderaan serta telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan itu,” katanya. – Info X