PITAS: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di pesisir pantai Kampung Rosob, di sini, tengah malam tadi ditemui lemas, hari ini.
Mangsa Muslim Masapi, 57, ditemui pasukan penyelamat jam 1.55 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 11 malam, ketika keluar menangkap ikan bersama anaknya.
“Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis oleh keluarga mangsa sebelum maklumat diterima BBP Pitas pada 11.58 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
“Mangsa kemudian ditemui jam 1.55 tengah hari tadi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Pitas.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 2.25 petang,” katanya.
Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X