KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala ikan di sungai Ladang Sepagaya, Kampung Suan Lamba, di sini, semalam.
Mangsa warga asing berusia 30 tahun dikatakan ke sungai untuk menjalankan aktiviti menjala di sungai berkenaan, sebelum dipercayai disambar buaya.
Kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa selepas tidak pulang ke rumah dan hanya selipar serta peralatan menjala ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang kampung.
“Operasi pencarian masih dijalankan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X