KOTA KINABALU: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah cuba melarikan diri dan bertindak agresif sehingga bergelut dengan polis sebelum diberkas bersama 51.31 gram syabu di Taman Telipok Ria, Telipok, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 9 pagi itu, polis turut merampas sepucuk senapang angin yang disembunyikan di sebuah reban ayam dan berpotensi membahayakan anggota pasukan serbuan.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan pemerhatian selama 10 minit di kawasan berkenaan.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek pada mulanya dilihat berdiri dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri apabila dihampiri anggota polis.

“Suspek turut bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan, namun berjaya ditahan menggunakan kekerasan minimum.
“Pemeriksaan terhadap beg hitam milik suspek menemukan 112 peket plastik pelbagai saiz mengandungi bahan disyaki syabu seberat 51.31 gram bernilai RM2,565,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan menerima komisen RM200 bagi setiap RM1,000 hasil jualan syabu.
Beliau berkata, polis kini giat mengesan seorang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan permohonan reman dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau berkata dalam tiga operasi berasingan di pusat hiburan sekitar Penampang dan Inanam pada Sabtu dan Ahad lalu, JSJN Sabah memeriksa 158 individu membabitkan pekerja serta pengunjung.
“Daripada jumlah itu, 28 individu termasuk 16 lelaki dan 12 wanita didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing.

“Antara bahan dikesan ialah ketamin, methamphetamine, amphetamine, benzodiazepine dan THC.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala risikan dan pemantauan terhadap pusat hiburan terbabit akan diteruskan,” katanya. – Info X