Search

MTL bermula esok, hujan lebat diramal hingga Januari, disusuli cuaca panas hingga Mac

October 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Musim Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula esok (27 Oktober 2026) dan berterusan hingga Mac 2027, dengan ramalan tiga hingga lima episod hujan lebat yang dibimbangi menyebabkan banjir.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata episod hujan lebat itu dijangka berlaku antara November depan hingga Januari 2027.

Katanya, dalam tempoh itu tiupan angin timur laut secara berterusan juga boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di Laut China Selatan.

“Semasa fasa awal MTL dari November 2026 hingga Januari 2027, tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.

“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, katanya menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan, terutama di negeri negeri utara Semenanjung dan Sabah.

Keadaan itu, katanya akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca yang berlaku semasa MTL 2026/2027 dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” katanya. – Info X