Search

Lelaki ditahan beri maklumat palsu permohonan Mykad 3 individu

February 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah selepas disyaki memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.

JPN Sabah dalam hantaran dimuat naik menerusi akaun rasmi agensi berkenaan di Facebook, hari ini, memaklumkan mengenai tangkapan berkenaan.

“Suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi pada 4 Februari di pejabat JPN Kota Kinabalu oleh pegawai penguatkuasa negeri.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur atau penjamin dengan mengemukakan maklumat palsu iaitu menyatakan dirinya sebagai bapa dalam beberapa permohonan kad pengenalan,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

JPN Sabah menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau menggunakan dokumen tidak sah bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara. – info X