BEAUFORT: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengugut ahli keluarganya menggunakan beberapa objek berbahaya dalam kejadian di Kampung Kilugus, Menumbok, di sini.
Suspek dipercayai melakukan ugutan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan bimbang terhadap keselamatan diri serta ahli keluarga lain.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, bertindak atas laporan diterima, anggota dari Balai Polis Menumbok menjalankan tindakan sebelum berjaya menahan suspek pada 23 Julai lalu.
Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Champin berkata, penyalahgunaan dadah khususnya syabu boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang sehingga bertindak agresif, hilang pertimbangan serta berpotensi mengugut atau mencederakan orang lain termasuk ahli keluarga sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya menjauhi penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui individu terbabit dengan dadah atau menunjukkan tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan.
Katanya, polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X