Search

Tanda tanya mayat bersama motosikal dalam parit akhirnya terungkai

July 24, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Tanda tanya penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Tambilaung, di sini, Selasa lalu, akhirnya terungkai apabila mangsa dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Mangsa berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal dari arah Kota Marudu menuju Kota Belud sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjunam ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sebelum mangsa ditemukan orang awam jam 12.45 tengah hari.

“Ketika ditemukan, mangsa dalam keadaan terlentang bersama motosikal di dalam parit yang dipenuhi air dan mayat sudah mengalami pereputan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, polis meminta individu yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chris Isaac anak Rechi di talian 088-976600 sambungan 225 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, penemuan mayat lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit berkenaan menimbulkan tanda tanya selepas mangsa ditemukan dalam keadaan sudah mengalami pereputan sebelum siasatan polis mendapati dia dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya. – Info X