KENINGAU: Seorang lelaki yang dipercayai tergelincir ke dalam kolam simpanan air di Batu 5, di sini, ditemui lemas hari ini.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa Anwar Taming, 41, dipercayai tergelincir ketika memasang pukat ikan di kolam simpanan air berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.52 pagi.
Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai dan jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerah ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba kemudian membuat pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum menemui mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada 10.03 pagi. – Info X