LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 71, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 51 tahun yang memandu kereta jenis Proton Pesona meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Penumpang kereta terbabit, lelaki berusia 42 tahun hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tungku, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Pesona dari arah Lahad Datu ke Tungku manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Tungku menuju ke Lahad Datu.
Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Pesona dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux.
“Pemandu Proton Pesona terbabit meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Tungku.
“Penumpang Proton Pesona cedera ringan manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Rohan Shah berkata, mayat mangsa telah dibawa oleh pihak polis ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sedia ada serta sentiasa mengamalkan sikap sabar dan berhati-hati ketika memandu. – Info X