TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai menyerang seorang lelaki yang juga kenalannya dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas Tawau, semalam.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan mangsa berusia 50 tahun yang cedera akibat ditetak.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki warga asing berusia 30-an berjaya ditahan.
Katanya, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.00 tengah hari.
“Pihak polis menerima laporan daripada anak mangsa yang mengatakan bapanya diserang oleh seorang lelaki yang dikenali.
“Mangsa dikatakan diserang menggunakan senjata parang ketika mangsa sedang bersarapan di kaki lima rumah mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Jasmin berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima tujuh jahitan di lengan kanan.
Katanya, kejadian serangan menggunakan parang itu dipercayai akibat perselisihan faham.
“Polis berjaya merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X