Search

Tanah runtuh, pokok tumbang di laluan pendakian Gunung Kinabalu

October 24, 2024

Info X Reporters

RANAU: Pendaki, malim gunung, porter dan kakitangan yang berada di sekitar Summit Trail Gunung Kinabalu dinasihat supata lebih berwaspada sepanjang masa ketika melakukan aktiviti pendakian gunung ke Panalaban.

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu perkongsian di laman rasmi Facebook hari ini, memaklumkan beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dikesan di kawasan berkenaan.

Katanya, ia susulan keadaan cuaca hujan angin kencang dan berkabus yang berlarutan di Gunung Kinabalu, Taman Kinabalu.

“Terdapat beberapa kejadian di sepanjang Summit Trail Gunung Kinabalu iaitu tanah runtuh di Kilometer (km) 3.8, pokok tumbang di km 1.6 dan pokok tumbang di km 0.6.

Pasukan keselamatan menjalankan kerja-kerja pembersihan di laluan yang terjejas di Gunung Kinabalu.

“Sehubungan dengan itu, semua pendaki, malim gunung, porter dan kakitangan yang berada di sekitar Summit Trail Gunung Kinabalu supaya lebih berwaspada sepanjang masa dalam sebarang aktiviti pendakian gunung ke Panalaban,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan pemantauan keselamatan dan kerja-kerja penyelenggaraan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa. – Info X