Search

Lelaki dituduh buat tuntutan palsu RM315,600 kepada PERKESO

December 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM315,600 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkaitan projek Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) 2.0 pada 2020 dan 2021.

Tertuduh, Bakruni Juani, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan maklumat pertuduhan, Bakruni didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan peruntukan di bawah PENJANA 2.0 untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan.

Tertuduh yang diwakili peguam Rahimah Majid didakwa tidak melaksanakan program berkenaan mengikut prosedur dan syarat yang sepatutnya.

Berikutan itu, hakim menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan RM2,000 deposit dan seorang penjamin tempatan.

Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan passport antarabangsanya kepada mahkamah dan melapor diri dua bulan sekali di pejabat SPRM Sabah. – Info X