Search

Lelaki maut lori pembancuh simen dipandu terbalik

December 5, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas lori pembancuh simen yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Lucia, Kampung Serudung Baru, di sini, petang tadi.

Mangsa Mohammad Jain Habib Kusin@Husin, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.59 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah lori pembancuh simen terbabas dan terbalik dan terdapat seorang mangsa lelaki tersepit.

“Pasukan bomba dibantu lori penarik kereta kemudian bertindak mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori pembancuh simen di Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 6.37 petang,” katanya. – Info X