Search

Lelaki hilang di hutan ditemui meninggal dunia

November 19, 2023

Info X Reporters

TAMBUNAN: Lelaki yang dilapor hilang selepas masuk ke dalam hutan Mosung, Kampung Monsok Tengah, di sini, dua hari lalu ditemui meninggal dunia hari ini.

Mangsa Felix Joseph, 40, dikatakan masuk ke dalam hutan untuk melakukan aktiviti menjerat haiwan liar.

Kehilangan mangsa disedari oleh abangnya selepas masuk ke dalam hutan berkenaan dan hanya menemui motosikal milik adiknya kira-kira 9 pagi, 17 November lalu.

Mayat mangsa ditemui di kawasan hutan Mosung, Kampung Monsok Tengah, Tambunan, kira-kira tiga kilometer dari PKTK. – Foto/Bomba

Usaha mencari mangsa di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang kemudian dilakukan oleh penduduk kampung namun gagal menemui mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.45 malam semalam.

Katanya, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi bersama pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, dan penduduk kampung.

“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi mencari dan menyelamat namun gagal menemui mangsa sebelum operasi ditangguh dan disambung pagi ini.

“Operasi SAR yang bermula 9.35 pagi tadi akhir mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat pada 10.28 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan penyelamat yang melakukan operasi SAR mangsa yang dilaporkan hilang di hutan Mosung, Kampung Monsok Tengah, Tambunan. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa ditemui meninggal dunia di hutan kira-kira tiga kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan penyelamat kemudian mengangkat dan membawa keluar mangsa dari hutan ke PKTK.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya kira-kira 12 tengah hari. – Info X