Search

Lelaki hilang di hutan, SAR masuk hari kedua

August 21, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Bukit Besi, sejak Isnin lalu.

Mangsa, Jusli Kiple, 48, difahamkan keluar seorang diri ke kebun kira-kira 500 meter dari rumahnya pada jam 6 pagi, 18 Ogos lalu, namun tidak pulang sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, usaha awal mencari mangsa dilakukan ketua kampung bersama penduduk pada 19 Ogos, tetapi gagal menemui sebarang petunjuk.

“Balai Bomba Beluran menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran pada jam 8.41 pagi semalam sebelum pasukan kami digerakkan ke lokasi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bermula jam 10 pagi dengan kekuatan empat anggota bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pencarian turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung.

“Pencarian ditumpukan di kawasan kebun mangsa, namun sehingga jam 5 petang, lelaki itu masih gagal ditemui.

“Operasi ditangguhkan dan akan disambung semula esok pagi,” katanya. – Info X