Search

PRN17: Ini pilihan raya terakhir saya – Hajiji

August 21, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang diadakan tidak lama lagi bakal menjadi pilihan raya yang terakhir bagi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum beliau bersara daripada politik.

Beliau sendiri berkongsi perkara itu pada Majlis Perasmian Dewan DSP Haji Hajiji dan Persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, di sini, pada Khamis.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, hasrat itu sudah disampaikan kepada pengundi di kawasan yang diwakilinya itu.

“Saya beritahu orang-orang saya di Sulaman, ini terakhir saya ikut pilihan raya ini,” katanya pada majlis berkenaan.

Hajiji berkata, selepas lebih 35 tahun bergiat dalam politik, beliau tidak pernah menyangka diberikan mandat sebagai Ketua Menteri.

Katanya, selepas ini beliau akan menyerahkan kepada generasi muda untuk menggantikannya dalam meneruskan perjuangan politik negeri ini.

“Biarlah generasi baharu pula yang meneruskan perjuangan,” katanya.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan dan memberi ruang kepada pelapis baharu dalam politik negeri. – Info X