Search

Lelaki hilang di kebun sawit

March 11, 2025

Info X Reporters

TENOM: Seorang lelaki dikhuatiri hilang di kawasan kebun sawit berhampiran tepi sungai Jalan Kemabong, di sini.

Mangsa berusia 26 tahun dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu, selepas hanya menemui kenderaan miliknya di kebun sawit berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penolong Penguasa Bomba, Mudi Pangiran berkata, pihaknya menerima laporan daripada polis mengenai kejadian itu pada jam 11.18 pagi tadi.

Katanya, menurut laporan daripada pengadu iaitu adik sepupu kepada mangsa, kereta mangsa jenis Myvi ditemui di dalam kawasan kebun sawit terbabit.

“Mangsa tidak dapat di hubungi sejak tengah hari, pada 7 Mac lalu dan hanya dapat mengesan lokasi mangsa melalui GPS telefon bimbit, sebelum adik sepupunya bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa bagaimanapun tidak berjaya ditemui. Hanya kenderaan mangsa sahaja berada di lokasi kejadian.

Anggota bomba menjalankan pencarian mangsa dikhuatiri hilang di kebun sawit berhampiran tepi sungai Jalan Kemabong, Tenom. – Foto/Bomba

“Ahli keluarga kemudian membuat laporan berkenaan kehilangan mangsa kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak dengan maklumat, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari pertama dimulakan pada jam 12.36 pagi hari ini.

“Pasukan bomba menjalankan pencarian dengan berjalan kaki menyusuri sungai sejauh 1.6 kilometer dari lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada jam 4.50 dan akan disambung pada esok,” katanya sambil menambah sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X