Search

Lelaki hilang di perairan Pulau Bum-Bum

November 20, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan di perairan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.

Mangsa, Lagate Gildik, 36, dikatakan tidak muncul semula ke permukaan selepas turun menyelam sebelum kehilangannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa oleh rakan-rakannya.

Pegawai Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Akimullah Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, tujuh anggota bersama sebuah bot Kevlar-1 digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.09 pagi.

“Maklumat awal memaklumkan mangsa dipercayai hilang ketika menyelam untuk menangkap ikan. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di sekitar kawasan tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan pasukan kami berdepan kekangan liputan GIRN serta talian telefon di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut disertai APMM Semporna dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X