SANDAKAN: Kecoh seketika program Walkabout calon Parti Warisan (WARISAN) di Kampung Sim-Sim, hari ini, selepas seorang ahli rombongan terjatuh ke laut ketika melalui jambatan kayu di perkampungan atas air berkenaan.
Calon WARISAN, Thien Ching Qiang, dalam catatan ringkas di Facebook memaklumkan kejadian berlaku ketika mereka meninjau kawasan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
“Ini satu-satunya laluan harian penduduk dan keadaan jambatan kayu ini membahayakan, terutama kanak-kanak dan warga emas.
“Saya berharap kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya yang turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berjalan di atas jambatan.

Kampung Sim-Sim berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat yang sebelum ini disandang bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung. – Info X