Search

Lelaki hilang, diheret buaya ketika cuci tangan di tepi sungai

May 10, 2023

admin



BELURAN: Seorang lelaki hilang selepas diheret buaya ketika sedang mencuci tangan dan kaki di tepi Sungai Rawog, di Ladang Linbar 2, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Rudi Amiruddin, 28, sehingga kini masih belum ditemui dengan operasi mencari masih giat dijalankan.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya sedang melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di ladang bersempadan dengan Sungai Rawog.

Ketika berehat, mangsa dikatakan pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kaki namun secara tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

Menurut saksi kejadian juga, mangsa sempat menjerit meminta tolong namun rakannya tidak sempat untuk membantu mangsa.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.52 petang, semalam.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua, hari ini, bermula pada jam 1 tengah hari.

“SAR bersama agensi lain dimulakan pada jam 1 tengah hari dengan radius 1 kilometer di sekitar lokasi kejadian (tiada litupan GIRN).

“Usaha pencarian masih dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X