KINABATANGAN: Sebuah bangunan yang menempatkan stor peralatan pelamin musnah dalam kebakaran di Taman Sazati, Batu 7, di sini, petang tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Savy terbakar 20 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.45 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan diketuai Nurul Azlan Shah Jamaludin ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
“Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan stor tempat penyimpanan peralatan pelamin terbakar 90 peratus dan turut terbakar Proton Savy.
“Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, api dapat dikawal jam 7.19 malam dan kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Operasi ditamatkan pada 7.58 malam dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X