SANDAKAN: Seorang pejalan kaki wanita cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Jalan Seguntur Jaya, Batu 11, di sini, petang tadi.
Mangsa Paron Rufina Ubi, 23, cedera di pipi sebelah kanan dihantar ke Hospital Duchess of Kent, oleh kenderaan awam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipercayai terbabas sendiri di bahu jalan dan merempuh seorang pejalan kaki.
“Mangsa cedera kemudian dibawa ke hospital oleh orang Aan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu wanita berusia 28 tahun dan dua penumpang Perodua Axia tidak mengalami kecederaan.
“Tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain. – Info X