Search

Lelaki hilang disyaki dibaham buaya ketika baiki pukat di Sungai Silabukan

October 8, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai hilang selepas disyaki dibaham buaya di Sungai Silabukan, Indrawan Estate, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa berusia 27 tahun dilaporkan sedang membaiki pukatnya sebelum diserang reptilia berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Lahad Datu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke tempat kejadian bagi menjalankan pencarian awal.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pagi tadi pada jam 9.15,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lokasi mangsa dibaham buaya ketika membaiki pukatnya di Sungai Silabukan, Lahad Datu.

Menurutnya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang (OH) sementara operasi pencarian diteruskan di sekitar kawasan sungai berkenaan.

Sementara itu, Jimmy menasihatkan orang awam supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan berisiko yang mempunyai buaya demi keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087 bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X