Search

Lelaki hilang dua hari ditemui selamat

April 22, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebunnya di Kampung Gansurai, di sini, dua hari lalu, ditemui selamat, pagi tadi.

Luise Endriuge Seminding, 26, ditemui oleh penduduk bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), pada jam 10.13 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, pada jam 8.45 malam tadi.

Katanya, sebaik menerima maklumat, seramai 11 anggota bersama satu anggota unit drone digerakkan ke lokasi, sejauh 35 kilometer dari balai.

“Menurut maklumat awal, mangsa disedari hilang pada jam 6.00 pagi, 20 April lalu. Difahamkan, mangsa sering mengalami gangguan emosi sejak kembali dari bekerja di Korea pada tahun 2018.

“Pencarian pada hari kedua bermula sekitar jam 10.05 pagi bersama anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan 50 orang penduduk kampung.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat pada jam 10.13 pagi, kira-kira 2.5 kilometer dari PKTK,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada risiko lain, operasi SAR ditamatkan pada jam 10.25 pagi,” katanya. – Info X