KOTA KINABALU: Ketua Cabang PKR Kota Marudu yang baharu, Zaidi Jatil menyatakan komitmennya untuk memperkukuh parti, khususnya di Kota Marudu sejurus memenangi jawatan itu ketika pemilihan PKR pada Ahad.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah itu menewaskan penyandang yang juga Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah dan dua lagi calon lain dalam pertandingan empat penjuru.
Zaidi berkata, kepercayaan diberi kepadanya untuk mengetuai PKR Kota Marudu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Saya sedar bahawa amanah ini bukan sekadar jawatan tetapi satu tanggungjawab besar yang menuntut kesungguhan, keikhlasan dan keberanian.
“Bersama seluruh barisan kepimpinan cabang, saya berikrar untuk bekerja sebaik mungkin demi memperkukuh parti, menjaga kebajikan anggota, serta memastikan KEADILAN terus berkembang dan teguh di bumi Kota Marudu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemilihan peringkat cabang PKR pada Ahad menyaksikan Zaidi meraih 1,031 undi berbanding Sazalye yang hanya mendapat 548 undi.
Dua lagi pencabar iaitu Jolius Majawai mendapat 648 undi dan Jasmon Jaji dengan 182 undi daripada 2,405 kertas undi yang dikeluarkan bagi cabang berkenaan.
Zaidi menyatakan penghargaannya terhadap kepercayaan yang diberi kepadanya untuk menerajui PKR Kota Marudu.
“Dengan penuh rasa rendah hati, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota PKR Cabang Kota Marudu atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul amanah sebagai Ketua Cabang KEADILAN Kota Marudu bagi sesi 2025–2028,” katanya.
Sementara itu, beliau meminta semua ahli dan pemimpin PKR di cabang berkenaan mengukuhkan perpaduan tanpa mengira menang atau kalah dalam pemilihan kali ini.
“Pemilihan telahpun berlalu. Kini tibalah masanya kita kembali bersatu sebagai keluarga besar KEADILAN Kota Marudu.
“Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Kemenangan sebenar adalah apabila kita semua bersama membina parti yang kuat, berprinsip dan berjiwa rakyat.
“Saya juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekhilafan, keterlanjuran kata atau tindakan sepanjang tempoh berkempen sama ada secara sedar mahupun tidak. Maaf dipohon setulus hati, dari hujung rambut hingga hujung kaki,” katanya. – Info X