KOTA KINABALU: Bakal pengantin baharu di negeri ini boleh membuat permohonan secara dalam talian untuk mengikuti kursus pra perkahwinan dan bernikah mulai Jun depan.
EXCO Agama dan Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata langkah itu diperkenalkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi mempermudah hal-ehwal perkahwinan Islam di negeri ini.
Jelasnya, sebelum ini JHEAINS memperkenalkan permohonan kad nikah secara dalam talian bagi memudahkan pasangan mendapatkan dokumen dalam bentuk digital.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada JHEAINS kerana memperkenalkan beberapa sistem atau cara digital dalam mempermudahkan urusan umat termasuk yang sudah dilaksanakan, e-nikah atau bagaimana kita mendapat surat atau kad nikah digital.
“Selepas ini kursus pra perkahwinan juga boleh dimohon melalui perkhidmatan digital dan saya juga meminta supaya lebih banyak urusan yang dilaksanakan berhubung dengan rakyat dan masyarakat, dilaksanakan secara digital.
“Ini selaras dengan pendekatan kerajaan negeri seperti diminta oleh Ketua Menteri untuk mempermudah segala urusan berkaitan hal keagamaan dan urusan lain rakyat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Belia Madani: Mental, Fizikal dan Rohani dan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam, di sini, pada Selasa.
Seminar itu disertai kira-kira 500 belia, termasuk bakal pengantin baharu. Hadir sama Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut menyarankan agar lebih banyak kursus pra perkahwinan dilaksanakan seluruh negeri bagi memudahkan bakal pengantin menyertainya.
Beliau menyifatkan seminar dan kursus pra perkahwinan berskala besar yang julung kali diadakan di Sabah itu sebagai langkah yang baik dan wajar dikembangkan ke seluruh negeri.
“Saya meminta supaya program seumpama ini dikembangkan atau dilebarkan ke peringkat daerah atau bahagian kerana ia perlu untuk memberikan kesedaran kepada belia dan mereka yang akan menuju ke alam rumah tangga.
“Ia penting untuk belia mendapatkan bekal mereka sebelum masuk ke dunia yang baharu yang memerlukan kesedaran ilmu pengetahuan dan amalan yang perlu untuk mereka membina rumah tangga,” katanya. – Info X