Search

Lelaki hilang ketika memancing ditemui lemas

May 15, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di laut di Jeti Sepanggar dekat Chemical Industry, di sini, ditemui lemas, hari ini.

Mangsa, Anuar Abd Hakim, 26, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kedalaman tiga meter di kawasan laut berkenaan, jam 10.38 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat hari kedua dimulakan pada 7.35 pagi.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui pada kedalaman tiga meter di kawasan mangsa dilaporkan jatuh. – Foto Bomba

Katanya, operasi SAR dilakukan di pesisir pantai melalui kaedah surface water rescue dan selaman oleh Unit PPDA Zon Kota Kinabalu.

“Mangsa berjaya ditemui oleh PPDA pada kedalaman tiga meter di kawasan mangsa dilaporkan jatuh.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR kemudian ditamatkan pada 10.47 pagi.

Terdahulu, Anuar dikhuatiri lemas ketika memancing di laut di Jeti Sepanggar, dekat Chemical Industry, di sini, semalam.

Mangsa dikatakan masuk ke kawasan Jeti Sepanggar di Chemical Industry, tanpa pengetahuan dan memancing ikan di atas sebuah tongkang sebelum terjatuh ke dalam laut. – Info X