LAHAD DATU: Seorang lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memukat ikan di persisiran pantai Kampung Makuau, di sini, Jumaat lalu, ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mayat Rusbin Asri , 40, ditemui terapung dengan beberapa kesan gigitan pada badannya di perairan berkenaan oleh orang awam pada jam 6.45 pagi, iaitu di kawasan kira-kira 15 kilometer dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan dari pihak polis yang mayat mangsa telah ditemui di Kampung Nala Lama, Tungku di sini.
“Pasukan bomba dan agensi bantuan yang lain bergerak dan tiba di lokasi mangsa dijumpai pada jam 8.45 pagi dan seterusnya membawa mayat tersebut ke Kampung Makuau untuk proses pengecaman dari keluarga mangsa.

“Mangsa kemudian disahkan benar oleh keluarganya dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu Jumaat lalu, mangsa dipercayai telah dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti memukat di persisiran pantai.
Menurut warisnya, mangsa seorang diri semasa turun ke laut dan terdapat saksi terlihat mangsa yang berada di atas bot telah diserang buaya. – Info X