KOTA KINABALU: Seorang tukang cat kereta maut akibat terkena renjatan elektrik di luar bengkel di Kampung Sinulihan, Inanam, di sini, awal pagi semalam.
Mangsa Muhammad Nur Karim, 41, ditemui oleh rakannya sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita Wanita dan Kanak-kanak Likas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima panggilan jam 5.20 pagi berkenaan kejadian itu, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan dan menurut saksi mangsa bekerja di bengkel cat kereta berkenaan.
“Menurut saksi iaitu rakannya ketika mangsa keluar berehat di belakang bengkel, tiba-tiba saksi terdengar mangsa menjerit.
“Rakannya kemudian bergegas ke lokasi itu dan mendapati mangsa dalam keadaan berdiri sambil memegang besi pagar belakang kawasan bengkel itu.
“Rakannya cuba menarik mangsa lalu merasa ada aliran arus elektrik sebelum mangsa rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kalsom berkata, rakannya kemudian meminta bantuan untuk menghubungi ambulans.
“Tidak lama selepas itu ambulans tiba dan memberikan bantuan serta pemeriksaan dan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya. – Info X