Search

Lelaki hilang ketika memukat ditemui lemas

April 26, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Seorang lelaki yang hilang ketika memukat ikan bersama anak saudaranya di laut berhampiran Kuala Putatan 2, di sini, ditemui lemas, petang tadi.

Mangsa berusia 71 tahun ditemukan orang awam pada jam 3.56 petang, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zeno Tinggalan berkata, mengikut laporan anak saudara mangsa, mereka turun bersama ke laut untuk memukat ikan sebelum mangsa disedari hilang pada jam 12 tengah hari.

“Kejadian kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak BBP Penampang pada jam 2.02 petang.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi sejauh 20 kilometer terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesisir pantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba dibantu orang awam mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi SAR turut dijalankan bersama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam pada jam 3.56 petang sebelum memaklumkan kejadian kepada pasukan SAR yang ada di lokasi.

“Pasukan operasi kemudiannya membawa mangsa ke kawasan darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X