KOTA KINABALU: Khidmat Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC kekal sehingga akhir musim ini berdasarkan kontrak beliau bersama skuad Sang Badak yang dipersetujui sebelum ini.
Atas sebab itu, Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid, menjelaskan tidak timbul soal pengganti atau siapa bakal mengambil alih tempatnya seperti khabar angin yang timbul baru-baru ini.
Jelasnya, persoalan itu hanya difikirkan selepas kontrak Kim Swee tamat atau jika beliau membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu sebelum kontraknya tamat.
“Tidak timbul soal kalau bukan Datuk Ong Kim Swee siapa lagi yang kedua sebab kontraknya hingga hujung musim ini.
“Jadi sama ada Datuk Ong Kim Swee atau tidak, itu difikirkan setelah tamat kontrak beliau atau dia sendiri membuat keputusan untuk menerima tawaran baharu.
“Tapi, setakat ini perkara itu belum muncul, jadi secara ringkas beliau akan bersama kita sepanjang musim ini dan begitu juga dengan pemain lain,” katanya pada sesi bersama media, di sini, hari ini.
Mohd Joh mengulas khabar angin dan laporan tular baru-baru ini yang antara lain menyebut kemungkinan Kim Swee bakal meninggalkan Sabah FC secara mengejut.
Khabar angin itu dikaitkan dengan kekosongan jawatan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang mana Majlis Sukan Negara (MSN) dikatakan berminat mendapatkan khidmat Kim Swee.
Sementara itu, Mohd Joh berkata berikutan masalah kewangan dihadapi Sabah FC sebelum ini, pihaknya juga ada berbincang dengan Kim Swee untuk memaklumkan kepada pemain jika ada yang mahu meninggalkan pasukan secara sukarela.
“Ia sebagai langkah untuk mengurangkan tanggungan mana-mana pemain yang secara sukarela boleh meninggalkan Sabah FC atas persetujuan bersama kerana kita tidak mahu pemain terbeban sekiranya berlaku peristiwa musim lalu yang mana gaji tertunggak sampai tiga bulan.
“Kita risau keadaan itu akan berlaku semula tetapi setakat ini belum berlaku dan kita berharap ia tidak akan berlaku lagi.
“Tapi, pemain kita lebih memilih untuk bersama dengan Sabah FC kerana mereka sayangkan Sabah FC. Mereka selesa di Sabah kerana mereka mempunyai sokongan yang sangat kuat di sini.
“Mereka kagum dengan sokongan yang dberi penyokong. Begitu juga masyarakat Sabah yang begitu menghormati dan menyanjung mereka sebagai pemain,” katanya.
Katanya, komitmen disuarakan pemain skuad Sang Badak itu menjadi motivasi kepada pengurusan Sabah FC untuk terus bekerja kuat bagi memastikan pasukan berkenaan terus melakar kejayaan.
Anak buah Kim Swee bakal diuji dalam aksi pra musim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) bermula Isnin depan yang akan disertai dua lagi kelab dalam Liga Super musim ini iaitu KL City FC dan Kuching City FC serta Hougang United FC dari Singapura. – Info X