TAWAU: Isi minyak sebelum cabut lari. Bukan sekali, tetapi berulang kali sehingga mengundang rasa marah dan tidak puas hati dalam kalangan pengusaha stesen minyak yang terpaksa menanggung kerugian.
Namun tindakan licik lelaki berusia 38 tahun itu berakhir apabila diberkas polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam pada jam 1.45 pagi, mengenai kehadiran sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah premis dobi di kawasan bandar.
Katanya, sebaik menerima maklumat, anggota MPV bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kereta berada di lokasi dimaklumkan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki berada dalam kereta berkenaan dan semakan lanjut mendapati kereta itu terbabit dalam satu laporan polis berkaitan kes penipuan yang masih dalam siasatan.
“Suspek warga tempatan itu kemudian ditahan manakala kenderaan yang digunakan turut dirampas bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian mengisi minyak tanpa membuat bayaran di beberapa stesen minyak sekitar bandar ini.
“Perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menimbulkan rasa marah dan tidak puas hati dalam kalangan pengusaha stesen minyak yang mengalami kerugian akibat perbuatan itu.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang pengambilan dadah,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Info X