Search

Taklimat keselamatan selam skuba susulan kes kemalangan babitkan penyelam

June 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Selam Skuba Sabah akan menganjurkan program kesedaran keselamatan bagi meningkatkan amalan baik aktiviti menyelam dalam kalangan ahlinya.

Presidennya, Sim Fui, berkata langkah itu sejajar kepentingan aspek keselamatan yang mesti dijadikan keutamaan oleh setiap penyelam, lebih-lebih lagi berlaku kes membabitkan kematian ketika aktiviti selam skuba baru-baru ini.

“Setiap penyelam yang bertauliah diajar dengan prosedur yang betul ketika latihan dan peraturan pertama ialah sentiasa kembali dengan selamat.

“Malangnya, insiden baru-baru ini menunjukkan beberapa penyelam tidak menghiraukan prosedur ini hingga mengakibatkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, seorang warga tempatan dari Kuala Lumpur berumur 33 tahun maut ketika menyelam di perairan Pulau Weh, dekat Sabang, Indonesia selepas dilaporkan panik apabila dilanda arus deras di bawah laut.

Pada Mei lalu, dua warga China juga maut dalam kemalangan ketika aktiviti menyelam berasingan di perairan negeri ini.

Seorang daripadanya adalah pelancong yang menyelam tanpa pengawasan, lemas ketika menyelam di perairan Pulau Sipadan, Semporna, manakala satu lagi kes membabitkan seorang divemaster bertauliah yang lemas selepas cuba mendapatkan semula sebuah kamera yang hilang dekat perairan Pulau Kakaban.

Sim Fui berkata, insiden tragik itu boleh dielak jika mangsa mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan ketika aktiviti menyelam.

“Bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban, kelab kita akan mengadakan taklimat keselamatan menyelam pada 20 Julai depan.

“Tujuannya bagi mengingatkan ahli mengenai kepentingan mematuhi prosedur yang sudah ditetapkan,” katanya.

Pihak kelab, katanya melantik dua pakar yang akan mengetuai sesi taklimat itu, iaitu Lt Kol Dr Eugene Tan Choon Li sebagai penasihat perubatan selam skuba dan Pegawai Waran I Almudi Eskal sebagai penasihat menyelam teknikal.

Dr Eugene ialah pakar perubatan dalaman dan pegawai perubatan menyelam di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

Almudi pula ialah Ketua Penyelia Jabatan Perubatan Hiperbarik dan Menyelam di hospital berkenaan, selain sebagai Army Submarine Escape Instructor.

Kedua-dua mereka akan memberi taklimat mengenai kecemasan perubatan yang berkaitan dengan aktiviti menyelam dan menawarkan bimbingan kemahiran teknikal serta amalan selaman yang selamat.

Maklumat lanjut berhubung program itu dikongsikan melalui laman Facebook Kelab Selam Skuba Sabah. – Info X