KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga tempatan ditemui maut selepas disyaki terjatuh dari sebuah bangunan di Tanjung Aru, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima makluman awal berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.07 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota polis segera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan tindakan awal dan siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang juruteknik yang bertugas di sebuah bangunan melihat satu objek disyaki manusia jatuh dari tingkat atas bangunan berkenaan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
“Pemeriksaan di hadapan bangunan kemudian mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan ambulans dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun.
“Hasil semakan rakaman CCTV mendapati mangsa telah memasuki sebuah unit di tingkat 11 bangunan berkenaan sebelum kejadian berlaku.
“Pemeriksaan awal fizikal oleh pasukan forensik mendapati kecederaan dialami mangsa adalah selari dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi dan tiada sebarang kecederaan luaran mencurigakan ditemui pada tubuh badan si mati. – Info X