Search

Pejalan kaki maut dirempuh pacuan empat roda

December 13, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kemalangan di Kilometer 16, Lebuhraya Pan Borneo, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas dirempuh kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, kenderaan terbabit kemudiannya terlanggar mangsa yang dipercayai sedang melintas jalan dari sebelah kiri ke sebelah kanan.

“Impak daripada pelanggaran menyebabkan mangsa terhumban dan terbaring di atas jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, khususnya di laluan gelap dan kawasan berisiko kemalangan. – Info X