PUTATAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Putatan menghala ke Lokawi, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.04 pagi.
Menurutnya, lima anggota bersama sebuah jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas dipercayai dilanggar sebuah Perodua Viva.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya atau punca kebakaran yang boleh mengancam keselamatan.
“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 pagi,” katanya. – Info X