Search

Sindiket edar dadah guna kurier terbongkar

July 5, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar bekalan ke Sabah terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan empat individu dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM233,000.

Operasi itu dilancarkan hasil kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan pertama pada 29 Jun lalu berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 57 tahun selepas siasatan terhadap satu bungkusan Pos Laju yang disyaki mengandungi dadah.

Katanya, pemeriksaan menemui 207.44 gram pelet dipercayai ganja sebelum serbuan susulan di sebuah rumah di Taman Rimba membawa kepada penemuan 60 liter cecair hitam dipercayai mengandungi ganja bersama pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam kes itu dianggarkan RM16,595.20,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi kedua pada 2 Julai lalu pula membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai mengambil sebuah bungkusan mengandungi 615.4 gram ketamin yang disorok di dalam sebuah kotak pencetak.

“Serbuan susulan di rumah suspek membawa kepada penahanan isterinya berusia 29 tahun serta rampasan tambahan membabitkan ketamin, serbuk jus berperisa disyaki dadah, pil ekstasi dan Eramin 5 bernilai RM137,584.33.

“Polis turut menyita sebuah Ford Ranger, Honda Civic, barang kemas, wang tunai RM12,300 dan beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi berasingan pada hari sama, seorang lelaki warga Filipina berusia 37 tahun turut ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai penghantar atau runner bagi sindiket.

Katanya, pemeriksaan menemui 394.50 gram ketamin yang disembunyikan di dalam sepasang kasut dengan anggaran nilai RM78,900.

“Kesemua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan awal dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X