LAHAD DATU: Seorang pemandu maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar bahagian belakang lori yang parkir di tepi jalan di Jalan Tengah Nipah, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 5.04 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berusia 67 tahun yang memandu kenderaan jenis Ford disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu mangsa datang dari arah Tungku dan memotong sebuah Perodua Alza.
“Ketika kenderaan Ford dipandu mangsa hendak masuk semula ke laluan, kenderaan itu terlanggar pembahagi jalan lalu hilang kawalan dan melanggar belakang lori yang sedang di parkir di bahu kiri jalan sebelum terbabas ke dalam parit kiri jalan.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kenderaan Ford meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan lori polis.
“Sampel darah mangsa dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk ujian alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Katanya, orang ramai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu Inspektor Mohammad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu.
Sementara itu, beliau berkata, penggguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan berhemah ketika memandu supaya tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau turut menegaskan kepada semua syarikat, pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan supaya tidak meletakkan lori di bahu jalan tanpa meletakkan sebarang tanda amaran kerana boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain. – Info X