Search

Ular sawa belit kucing ditangkap

July 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seekor ular sawa sepanjang tiga meter yang sedang membelit seekor kucing berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Taman Ujana Kingfisher, di sini, pagi tadi.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.51 pagi.

Katanya, seorang pegawai bersama enam anggota dari Skuad Bravo diketuai Staf Muda (SM) Mohd Harun digerakkan ke lokasi.

Ular yang sedang membelit kucing berjaya ditangkap anggota APM.

“Setibanya di lokasi, pemilik rumah memaklumkan ular sawa berada di belakang rumah di dalam parit.

“Empat anggota lengkap berpakaian peralatan Personal Protective Equipment (PPE) menuju ke belakang rumah pengadu dan menemui ular itu di dalam parit yang membelit seekor kucing sehingga mengakibatkan kucing itu terbunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggota APM yang menggunakan peralatan khas berjaya menangkap ular berkenaan.

“Ular berkenaan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu sebelum dilepaskan ke lokasi selamat,” katanya.

Sementara itu, Aizax berkata, selang dua jam pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung seekor ular tedung berada di dalam dapur rumah penduduk di Kampung Gudon, Manggatal, di sini, pagi tadi.

Ular tedung yang berjaya ditangkap oleh APM di sebuah rumah di Kampung Gudon, Kota Kinabalu.

Katanya, pasukan yang sama digerakkan ke lokasi dan berjaya menangkap ular tedung sepanjang satu meter dengan anggaran berat 500 gram di bawah rak penyimpan pinggang mangkuk. – Info X