Search

Lelaki maut kenderaan dipandu terbabas sendiri

December 27, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Fok Hin Batu 12, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sankui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai terbabas sendiri di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa terlibat dalam kemalangan itu dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, malam tadi.

Kenderaan dipandu mangsa terbabas sendiri di Jalan Fok Hin Batu 12, Sandakan. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 7 malam,” katanya. – Info X