TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jambatan Batangan Jalan CKS Tuaran, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Mohammad Fazley Sagih, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke Lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan dipercayai bertembung di lokasi kejadian.
“Seorang lelaki tersepit di dalam keretanya dan usaha mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berusia 48 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes diserahkan kepada pihak polis.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis, sebelum dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 7.30 pagi,” katanya. – Info X