Search

Rondaan Bermotosikal Amanita dekati komuniti wanita

June 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rondaan Bermotosikal Amanita adalah salah satu inisiatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu khususnya di bandar raya ini yang bertujuan untuk mendekati komuniti wanita.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kehadiran anggota dan pegawai wanita di kawasan yang mempunyai ramai wanita akan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa.

Katanya, ia sekaligus dapat menambahkan lagi kekuatan PDRM dalam usaha mencegah jenayah termasuk di kawasan tumpuan.

“Untuk permulaan ini, kita menempatkan Amanita bermula dari pusat beli belah Imago sehingga ke Jesselton Mall.

“Begitu juga dengan kawasan tumpuan seperti Jalan Tun Fuad Stephen, Anjung Kinabalu dan kawasan Jalan Gaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita, IPD Kota Kinabalu, di Dataran Deasoka, di sini, hari ini.

Kasim bergambar bersama pegawai dan anggota selepas Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita, IPD Kota Kinabalu, di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu.

Kasim berkata, usaha ini dilihat boleh mendekatkan kaum wanita yang mempunyai masalah dengan anggota polis wanita.

Katanya, komuniti wanita akan lebih selesa bergaul dengan polis wanita dan mudah memberi maklumat kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Usaha ini boleh diperluaskan lagi sekiranya ada keperluan namun bergantung kepada kekuatan anggota polis wanita.

“Setakat ini, kita mempunyai tiga anggota wanita bermotosikal dan menumpukan operasi pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya. – Info X